Sekuntum bunga yang merah
Di dalam taman itu
Baunya harum dan mewangi
Indah dan suci
Terpesonaku memandangmu
Tersentuh jua hatiku
Melambai-lambai bunga itu
Ditiup bayu….
Inginku meraih
Ku belai sepenuh hati
Sayangnya bunga itu
Dikelilingi duri
Ku cuba untuk mencapaimu
Tertusuk duri jariku
Lantasku luka dan berdarah
Ku tak berdaya…
BAB 1
Drama Seputih Kasih Ramadhan dipandang sepi. Langsung tidak bisa merungkai segala persoalan di benaknya. Syafika bingung. Masih tidak percaya dengan keputusan drastik yang diambil sahabat baiknya. Afifah tetap tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku. ‘Dia ni memang tenang ke saja nak tunjuk kuat depan aku ni?’ bisik hati kecilnya sambil melihat Afifah yang khusyuk mengadap televisyen..
“Ifa, aku bingunglah. Kau dah fikir panjang ke?” ternyata tak dapat dibendung lagi persoalan yang kian menyimpul otaknya. Ini masalah dia tapi mengapa mesti aku yang tanggung kegusarannya?
“Pasal apa?” jawabnya mendatar tanpa menoleh ke arah Syafika.
“Jangan pura-pura tak tahu pulak. Hal kahwin kau tu lah. Serius ke kau ni?” Syafika mula geram bila Afifah seperti tidak endah dengan pertanyaannya. Dengan pantas volume suara televisyen dibisukan.
“Apa hal kau ni Ika? Aku tengah tengok TV ni. Janganlah kacau aku,” remote control kembali dirampas.
“Aku tanya baik-baik kau buat-buat tak dengar. Mana aku tak geram,”Syafika tiada hati untuk melawan. Afifah mula rasa serba salah. Direndahkan suara dan bersila mengadap Syafika yang ternyata terasa hati.
“Okey...aku minta maaf ek. Bukannya aku tak dengar apa yang kau cakap tadi. Aku dengar. Ala kau ni... takkan itu pun nak merajuk dengan aku?” melihatkan Syafika masih mencuka Afifah mula mencari idea.
“Cepatlah cakap. Apa yang kau nak tanya aku tadi? Aku tengah bersemangat nak jawab ni,” Afifah cuba memancing. Hendak dipujuk sahabatnya ini tapi malangnya dia sendiri sudah kematian idea. Melihatkan Syafika masih tidak bereaksi membuatkannya semakin serba tak kena.
“Janganlah buat aku macam ni Ika. Aku menangis nanti. Kau bukannya tak tahu aku ni tak pandai pujuk orang. Ika! Malas aku layan kau. Aku naik dululah….” bicaranya sedikit bergetar. Dirinya tertewas. Itulah…lain kali buat lagi. Aku ni memang suka buat perangai macam ni. Akhirnya aku juga yang kalah…rungutnya memulakan langkah untuk berlalu.
“Hey…” pantas tangan Afifah disambut. Afifah ditarik, kembali duduk di sebelahnya.
“Aku tahu kawan depan aku ni memang beginilah gayanya. Nak minta dia pujuk tapi akhirnya kita pulak yang kena pujuk dia. Bukannya baru hari ni aku kenal kau. Sejak dari universiti lagi. Tu lah lain kali bila orang bercakap tumpukanlah perhatian. Ini tidak, orang beriya nak ajak dia berborak tapi dia buat tak endah je. Manalah hati tak sakit,” Syafika mula membebel.
“Janganlah marah aku,” Afifah semakin rasa serba salah. Direnung lantai yang beralaskan karpet corak bunga-bunga kuning.
“Aku bukannya marah tapi nasihat,” Syafika mula bergurau. Afifah merenung Syafika yang ternyata tidak dapat menahan gelak. Akhirnya keduanya tergelak sesama sendiri.
“Dengan perangai macam ni ada hati lagi nak kahwin. Erm…buat malu je. Jenuhlah laki kau nak memujuk karang,” Syafika menyindir. Mengharapkan tindak balas dari Afifah namun tiada jawapan. Melihatkan Afifah diam membisu segera lengan sahabatnya itu disiku.
“Hah?!” Afifah tersentak. Dia sendiri tidak sedar bagaimana dia bisa hilang tumpuan untuk seketika.
“Mula dah….baru je cakap. Aku tanya serius ke kau nak kahwin dengan mamat tu?” Malas rasanya hendak mengulang lagi persoalan yang sama kerana jawapannya pun tetap sama. Namun selagi hati belum yakin maka selagi itulah usahanya takkan putus untuk mengetahui kisah sebenar.
“Oooo...kenapa tak? Masuk kali ni dah sepuluh kali kau tanya aku soalan yang sama. Kan bagus aku kahwin…lagipun dah sampai jodoh aku. Nak diapakan lagi,” jawabnya selamba langsung tidak menampakkan sebarang kekeliruan.
“Tapi kan kau baru tiga bulan kerja. Kau tak rasa ke keputusan kau ni terburu-buru? Kau dah bincang dengan mak kau kat kampung?” Syafika nekad. Inilah masanya untuk dia bertanya segala hal yang tidak memuaskan hatinya.
“Ermm..belum lagi tapi aku jamin mak aku mesti tak halang niat baik aku ni. Tiga bulan kerja bukan soalnya Ika tapi serunya dah tiba. Takkan kau nak suruh aku menentang jodoh. Tambah lagi aku dah jumpa orang yang terbaik untuk aku, takkan aku nak lepaskan macam tu je. Rugilah aku. Silap-silap sampai ke tua lah aku tak kahwin,” Afifah masih tetap mempertahankan pendiriannya.
“Bukan itu maksud aku tapi kan kau baru je putus dengan si Faiz tu. Takkan cepat sangat kau buat keputusan ni?” Syafika semakin naik hairan. Masakan begitu mudah Afifah berubah kasih.
“Dah…aku tak nak ungkit lagi perkara yang dah lalu. Faiz tu hanya kenangan aku. Dia yang tak setia dengan aku. Kalau dah itu jalan yang dia pilih, aku cuma boleh berharap dengan pengunduran aku ni dia akan bahagia lagipun aku yakin Rina boleh jadi isteri yang baik untuk lelaki seperti Faiz. Orang dah melukakan perasaan aku untuk apa aku kenangkan lagi. Baik aku cari kehidupan baru. Kan elok. Kesedihan akan hanya membunuh kebahgiaan kita Ika. Dan yang pastinya pilihan aku kali ni takkan silap lagi. Buat apa nak kenal lama-lama tapi akhirnya tak menjadi. Langkah terbaik bila kita rasa dah serasi terus suruh orang tu masuk meminang. Senang hidup,” balasnya tenang dan mengharapkan tiada lagi soalan yang akan memancingnya. Dia tahu Syafika sedang cuba mengorek rahsianya. Tak mungkin. Belum masanya untuk aku ceritakan pada sesiapa.
“Aku minta maaf kalau aku..” Syafika serba salah. Bimbang kata-katanya tadi menyinggung perasaan.
“Aku tak apa-apa. Kau janganlah risau. Kawan kau ni kuat tau. Walaupun aku tak berapa kenal bakal suami aku tu tapi aku yakin inilah keputusan terbaik yang pernah aku buat dalam hidup aku. Kalau mak okey anak pun mesti okey juga. Apa yang penting sekarang ni kau mesti doakan kebahgiaan aku. Bagi sokongan kat aku. Aku belum jumpa lagi kawan yang sebaik kau tau. Tahu tak, kaulah kawan baik aku dunia akhirat. Kau dah banyak tolong aku, nasihatkan aku. Rasanya dah sampai masanya kau fikirkan diri kau Ika. Zarul tu dah lama tunggu kau. Seingat aku sejak kita di tahun 3 lagi. Janganlah hampakan dia. Bukan senang nak cari lelaki sebaik dia pada zaman serba canggih ni. Sebelum dia dikebas orang macam aku ni baik kau ‘ikat’ dia dulu. Nanti kalau dah menganga baru kau tahu,” pujuk Afifah bersemangat. Sengaja menukar topik untuk melarikan diri dari teka-teki yang sedang bermain antara mereka.
“Ifa…” ditatap wajah Afifah dengan perasaan bercampur baur. Setahunya hal kahwin Afifah berkait rapat dengan majikan tempat kerjanya. Berkemungkinan ada sesuatu yang Afifah cuba rahsiakan daripada pengetahuannya. Tambahan lagi perkahwinan ini dirancang sepenuhnya oleh bakal mertuanya. Mungkinkah….ah tak guna nak difikirkan lagi. Jika Afifah yakin dengan keputusan yang dia buat, aku hanya mampu mendoakan kebahgiaan berpanjangan untuknya.
“Gurau jer. Sekarang ni kita tutup cerita yang sedih dan syahdu tu. Apa yang aku nak sekarang ni kita bincang hal kahwin aku. Aku nak masa majlis aku nanti kau jadi pengapit aku. Wajib. Kau tak boleh tolak,” bicaranya tegas tapi mesra sambil tersengih. Siapa dapat menyangka moodnya boleh berubah serta merta.
“Tak mahu aku. Buat malu je. Aku ni dahlah tak lawa. Mana boleh jadi pengapit kau,” Syafika mula merendah diri walau sebenarnya dia ingin mengelak dari menjadi pengapit. Malu rasanya berdiri di sebelah pengantin sambil disaksikan para tetamu yang hadir.
“Habis tu kau fikir aku ni cantik sangatlah? Relakslah…kita ni sama saja. Asalnya tetap dari tanah. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Kau pun..takkanlah pengapit lagi cantik dari pengantin. Hilanglah seri aku..hahaha,” guraunya.
“Ada je modal kau nak kenakan aku,” Syafika sudah masak benar dengan sikap gila-gila Afifah yang suka menyakatnya walau dia tahu terlalu banyak keperitan hidup yang cuba disembunyikan.
“Boleh eh. Boleh la….” Afifah merengek-rengek.
“Dah…tak payah nak bodek aku lagi. Kalau pasal berlakon bagi je kat kau kan,” Syafika sudah tidak tahan dengan sikap Afifah. Langkah terbaik adalah bersetuju dengan permintaannya. Senyuman terukir di bibirnya.
“Alright, kira setujulah ni kan,” jawapan itu diselangi gelak ketawa mereka berdua.
“Eh, tapi tak tahu jugak la Ifa,” suasana sepi seketika.
“Kenapa?” Afifah tak senang duduk.
“Orang kata bila anak dara jadi pengapit nanti dia jadi anak dara tua. Lambat kahwin. Aku tak naklah kahwin lambat Ifa. Nanti anak kau dah berderet tapi aku solo lagi,” Syafika sengaja mahu menghilangkan mood yang baru bercambah.
“Ish kau ni. Mengarut je. Percaya sangat....benda tu takkan jadi kat kau la. Zarul kan ada. Jangan bimbang, nanti aku pujuk dia suruh pinang kau cepat-cepat ek,” kata-kata Syafika sebentar tadi langsung tak terkesan di hatinya kerana dia sudah siap dengan jawapan yang pasti membuatkan Syafika lebih terkejut.
“Ini yang aku tak suka nak dengar. Dalam a pa-apa hal kau suka libatkan dia tau. Aku dengan dia cuma berkawan lah,” sengaja cari alasan. Tak payahlah nak sembunyi-sembunyi. Kawe dah tahu ler....bisiknya.
“Suka sangat bagi jawapan artis kat aku. Cuma kawan…no comment. Tak apa…cuma kawan...ooo...kalau selalu keluar makan sama, beli-belah pun sama-sama itu dikira cuma kawan. Tak tahu pulak aku bila dah jumpa orang tua pun masih kata ‘CUMA KAWAN’,” Afifah memancing perhatian kawannya. Kali ini Syafika takkan dapat lari lagi. Diperhatikan Syafika yang masih bersikap selamba.
“Itu yang dikatakan TEMAN TAPI MESRA. Eh, kejap. Mana kau tahu Zarul tu datang jumpa mak ayah aku?” Syafika cepat tersedar dengan kata-kata Afifah sebentar tadi. Afifah tersenyum-senyum memandang sahabatnya.
“Ha...kan dah kantoi. Itulah lain kali sembunyi-sembunyi lagi daripada aku. Rahsia kau dengan Zarul semuanya ada dalam kocek aku. Zarul tu manalah pandai nak berahsia dengan aku. Masa nak tackle kau siapa yang dia cari dulu? Aku kan. Jadi tak hairanlah aku tahu. Ala...itu pun tak boleh nak imagine ke?” Afifah tersenyum kemenangan.
“Dia ni memang tau. Aku dah warning kat dia jangan bagitau dulu. Malu aku,” Syafika menguis-nguis karpet merah dengan jari kakinya.
“Apa yang nak dimalukan. Kau dengan dia memang sepadan. Kau aje yang tak perasan,” mata redupnya memandang wajah sahabat di depannya. Biar cuba melarikan diri namun segalanya telah terlerai. Syafika sudah mengaku.
“Ha...sepadan sangatlah. Asal jumpa mesti bergaduh lagipun sungguh-sungguh aku tolak dia dulu. Kau tak ingat? Entah apalah yang kawan-kawan lain fikir pasal kami nanti,” Syafika mula teringat kembali bagaimana perjumpaan mereka selalu diselangi dengan pergaduhan.
“Tapi itu dulu. Sekarang dah lain. Dah bahagia pun. Tunggu masa je. Jangan fikirlah apa yang orang lain nak kata. Yang penting apa yang hati korang nak katakan. Apa yang aku nampak dalam diri dia yang susah kau nak cari pada kebanyakan lelaki adalah sikap penyayangnya. Dia tak hipokrit. Biar dia anak tunggal tapi aku tengok perangai dia macam ada sedozen adik. Dengan kau selalu je mengalah. Bertuah kau,” puji Afifah ikhlas.
“Bukan main lagi kau promote dia kat aku.Yang kau puji dia semacam ni apa hal? Aku pernah terfikir, kita kenal Zarul dulu sebelum kita jumpa Faiz. Aku tengok bukan main baik lagi kau dengan dia tapi kenapa kau tak couple je dengan dia?” Syafika semakin galak. Riak wajah Afifah berubah.
“Aku mengalah lah. Bukannya aku tak tahu dalam diam-diam kau pun sukakan dia kan. Akhirnya aku pun terima si Faiz tu jadi pakwe aku,” wajahnya kian tegang. Mencari kepastian dari anak mata Syafika yang tepat memandangnya.
“Ifa…kau….” Syafika semakin tidak keruan. Afifah hanya menganggukkan kepala tanpa sedikit pun mengalihkan pandangannya daripada Syafika. Dilihat sahabatnya tidak tentu arah. Sudah berdiri dan menggelengkan kepalanya beberapa kali. Sekali lagi wajah Afifah ditatap. Serba merta Afifah meledakkan tawanya.
“Kenapa kau ketawa pulak? Aku tak sangka selama ni kau…”
“Dah..dah ..aku tak larat nak gelak lagi. Okey, sebenarnya aku tipu tadi. Aku sikit pun tak ada hati kat dia. Apatah lagi dia awal-awal lagi dah berkenan kat kau. Dia rapat dengan aku tu pun sebab nak tahu lebih banyak pasal kau. Yelah, bila dia dah baik dengan aku secara tak langsung dapatlah dia dekat-dekat dengan kau. Lelaki Ika…kalau nak dapatkan orang yang dia suka akal dia memang panjang. Macam-macam idea yang keluar dari kepala dia,” Afifah sudah mula bertenang.
“Kau menakutkan aku je. Aku risau tadi kalau betul-betul kau tolak dia sebab aku,” Syafika kembali duduk di hadapan Afifah. Rasa terkejutnya kembali reda.
“Kalau betul pun tak salah kan?” Afifah tak jemu-jemu mengusiknya.
“Ifa....”
“Taklah, aku sengaja mengarut. Sekarang ni confirm kau jadi pengapit aku. Aku tak kira. Aku tahu bila sampai hari jadi nanti kau selalu dekat dengan aku. Ish, kita ni cakap pasal lain tapi dah melalut sampai hal dulu-dulu pulak,” Afifah tersedar apa yang dibincangkan telah menyimpang jauh dari tujuan asalnya.
“Kau la…” diseka airmata yang masih bersisa dari juring matanya.
“Eh, aku ke yang salah?” serba salah juga bila melihatkan Syafika betul-betul terperangkap dengan gurauannya. Aku dengan Zarul? Mengingatkan kemungkinan itu Afifah tersenyum sendiri.
“Tak adalah. Saja nak kenakan kau sekejap setelah puas kau mengenakan aku. Pasal jadi pengapit aku tak ada masalah tapi biar aku tanya abang aku dulu. Mana tahu tiba-tiba dia tak bagi,” wajahnya yang keruh kembali tenang.
“Abang ke cik abang?” Afifah masih mahu mengusiknya.
“Mana-mana pun boleh,” jawabnya ringkas tidak mahu memanjangkan lagi cerita. Afifah menggelengkan kepala tanda mengalah. Puas hatinya kerana berjaya menyatukan dua hati sahabat yang dikasihi.
“Ifa….aku tak minta lebih daripada kau. Aku hanya berharap kau buat keputusan yang baik untuk diri kau. Jangan terlalu fikirkan perasaan orang lain sampai kau terpaksa abaikan kebahgiaan kau sendiri. Aku dah penat tengok kau selalu mengalah Ifa,” tangan Afifah diramas kemas mengharapkan Afifah faham tentang kerisauannya saat ini.
“Kau kena percaya pada aku okey,” rasanya perkara ini tidak perlu dipanjangkan. Segala masalah sudah selesai. Untuk apa dikusutkan lagi. Apa yang bakal terjadi tetap akan terjadi. Takkan sesekali berundur lagi. Yang berlalu biarlah berlalu. Bencana akan melanda andainya melalui masa kini tapi menyibukkan diri dengan masa lalu. Sekali lagi aku perlu mengingatkan diri aku sendiri untuk tidak menoleh ke belakang. Jangan!
Friday, July 10, 2009
Thursday, July 9, 2009
Prolog Terlanjur sayang
Sinopsis
Sudah tertulis dalam takdirnya memang ini dugaan yang perlu ditempuh sepanjang hidupnya. Azreen Afifah….gadis sederhana mempunyai ketegaran hati menghadapi perjodohan hidup bersama insan bergelar suami. Senyum di bibir melindungkan luka bernanah di jiwanya. Kesakitan mengundang kebahgiaan, ketulusan melumpuhkan keegoan. Seperti Cinderella menemukan Putera Raja, jodoh bersama
Badrul tidak pernah diidamkan. Menghadapi lelaki seego dia bukanlah mudah. Mungkin kerana ketabahannya dia acap kali diuji sehingga akhirnya kolam kesabaran melimpahkan segala kebisuan yang dipendamkan. Perpisahan mengundang sinar baru apabila pertemuan bersama Faiz seakan memberi ruang untuknya bernafas. Namun, bahagiakah dia? Adakah benar hidupnya tidak pernah bahagia? Mampukah lelaki itu dilupuskan dari ingatan?
Ingin tahu bagaimana kesudahan cerita ini?
Nantikan bahagian 1 dan 2 di blog ini..huhuhu
Sudah tertulis dalam takdirnya memang ini dugaan yang perlu ditempuh sepanjang hidupnya. Azreen Afifah….gadis sederhana mempunyai ketegaran hati menghadapi perjodohan hidup bersama insan bergelar suami. Senyum di bibir melindungkan luka bernanah di jiwanya. Kesakitan mengundang kebahgiaan, ketulusan melumpuhkan keegoan. Seperti Cinderella menemukan Putera Raja, jodoh bersama
Badrul tidak pernah diidamkan. Menghadapi lelaki seego dia bukanlah mudah. Mungkin kerana ketabahannya dia acap kali diuji sehingga akhirnya kolam kesabaran melimpahkan segala kebisuan yang dipendamkan. Perpisahan mengundang sinar baru apabila pertemuan bersama Faiz seakan memberi ruang untuknya bernafas. Namun, bahagiakah dia? Adakah benar hidupnya tidak pernah bahagia? Mampukah lelaki itu dilupuskan dari ingatan?
Ingin tahu bagaimana kesudahan cerita ini?
Nantikan bahagian 1 dan 2 di blog ini..huhuhu
Monday, June 29, 2009
Kenapa perlunya kita senyum?
Tahu tak senyum tu dapat menenangkan jiwa? Eem..bukan hanya hati kita tapi tanpa kita sedari sebenarnya satu senyuman tu boleh membuatkan orang yang memandang sejuk je bila melihat kita...hahaha..ini bukan omongan kosong tapi kenyataan...
Subscribe to:
Posts (Atom)